Minum Kopi Di Boigeet House ialah sebuah kumpulan cerpen kembara yang berilham daripada mutiara fikir dan kecaknaan penulis berpengalaman, Suratman Markasan. Himpunan 15 buah cerpen yang diadun sempurna ini mengajak khalayak pembaca meneroka wilayah fikir yang dalam dan jauh di samping sama-sama merasakan denyut latar yang pelbagai melangkaui diaspora Melayu dan seterusnya seantero dunia. Setiap catatan yang berhasil melalui pengamatan, penyeluruhan, serta pemerhatian penulis terhadap alam dan manusia yang melingkarinya - dijanakan oleh kreativiti dan imaginasi - menjadikan cerpen-cerpen dalam kumpulan ini berupaya untuk meninggalkan kesan taakulan yang mendalam kepada pembaca. Keseluruhan cerpen termuat dalam kumpulan cerpen ini menenun gambaran golongan yang tertindas, terzalimi, atau teraniaya dan terus-menerus menerima musibah. Kisah-kisah ini diandaikan oleh pengarang sendiri sebagai manik-manik kehidupan yang dirangkaikan menjadi kalung kata sebuah kehidupan.